PBTSELANGOR

Lebih 3,000 gamatkan Sepang Berselawat 2019

OLEH SHEEDA FATHIL

CYBERJAYA, 8 APRIL: Lebih 3,000 orang hadir menggamatkan Persembahan Malam Light and Sound Sepang Berselawat 2019, di Dewan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, di sini, malam tadi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Mohd Fauzi Yatim berkata, program julung kali itu diadakan bersempena mengingati peristiwa Israk Mikraj yang disambut pada 3 April lalu.

Katanya, ekoran sambutan memberangsangkan, pihaknya bercadang untuk menjadikannya sebagai program tahunan, sekali gus mempertingkatkan mutu acara itu, pada masa akan datang.

“Kita lihat sambutan malam ini (semalam) amat menggalakan dengan kehadiran masyarakat bukan sahaja di Sepang tetapi dari seluruh Selangor turut bersama hadir memeriahkan program berselawat ini.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan menyokong bagi menjayakan program ini dari petang hingga malam,” katanya kepada Media Selangor.

Program yang diadakan dari 4.30 petang hingga 11 malam itu menampilkan pelbagai acara menarik antaranya Qasidah, bacaan ayat suci al-Quran, perarakan Maulid dan ceramah daripada beberapa barisan pendakwah.

Selain itu, turut diadakan solat Asar, Maghrib dan Isyak secara berjemaah, persembahan nasyid oleh artis, Lah Ahmad serta Qasidah Selawat.

 


Pengarang :