BERITA UTAMASELANGOR

Lebih 50,000 tan metrik sampah Sungai Klang dibersihkan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 12 APRIL: Lebih 50,000 tan metrik sampah di Sungai Klang berjaya dibersihkan sejak Kerajaan Negeri melancarkan projek ‘Selangor Maritime Gateway’ (SMG), pada 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif Landasan Lumayan Sdn Bhd, Syaiful Azmen Nordin berkata, walaupun berat sampah terkumpul semakin bertambah, namun jumlah sampah yang dibersihkan saban tahun semakin berkurangan.

“Ketika awal pelaksanaan kerja pembersihan pada 2015, ada bot yang langsung tidak boleh bergerak gara-gara keadaan sampah yang penuh di permukaan sungai, tetapi sekarang situasinya semakin baik.

“Selain sampah semakin berkurangan, bau sungai juga sudah tidak busuk seperti dahulu dan ini sudah tentu berita yang amat positif hasil daripada usaha Kerajaan Negeri mewujudkan inisiatif SMG,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Forum Perniagaan Selangor Synergies Siri ketujuh: Selangor Maritime Gateway anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, di Hotel Dorsett Grand Subang, semalam.

Forum itu membabitkan pemegang taruh, kerajaan dan industri swasta membincangkan inisiatif menghidupkan kembali Sungai Klang dan kawasan sekitarnya melalui projek SMG.

Pada forum sama, Syaiful memaklumkan pihaknya turut memasang tujuh perangkap sampah baru di sepanjang sungai utama yang terletak di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya, selain itu, 48 perangkap sampah turut diletakkan di kesemua cabang sungai yang mengalirkan punca air ke Sungai Klang.

“Kita melihat usaha ini sebagai salah satu faktor bagaimana Sungai Klang semakin bertambah baik, walaupun pada awalnya ia dilihat agak sukar, namun kita yakin pelaksanaan ini akan berjaya jika mendapat kerjasama daripada masyarakat setempat.

“Kini tahap kualiti air Sungai Klang juga berubah dibandingkan lima tahun dahulu pada tahap 5, sekarang ia berubah kepada tahap tiga dan empat,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan pelaksanaan pemuliharaan Sungai Klang melalui projek SMG, yang dijangka menyemarakkan ekonomi negeri, pada jangka masa panjang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut memberitahu Kerajaan Negeri bertekad melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi, di bandar sepanjang Sungai Klang dan menjadikan kawasan itu sebagai ‘Smart Central Economic Region’.

Justeru, Kerajaan Negeri turut melantik anak syarikat milik penuh MBI, iaitu Landasan Lumayan Sdn Bhd sebagai pelaksana projek dan bertanggungjawab membersihkan Sungai Klang sejauh 120 kilometer.

Ia bermula dari kawasan sungai di Ampang, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan seterusnya Klang.


Pengarang :