NASIONAL

Lebih banyak perjanjian dengan China susulan rundingan semula ECRL

KUALA LUMPUR, 16 APR: Pelarasan dan penambahbaikan dasar perdagangan Malaysia dijangka menyumbang kepada penglibatan yang lebih besar dengan syarikat-syarikat China, terutama selepas rundingan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, berkata perkembangan terkini mengenai ECRL itu akan menghapuskan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur dan syarikat China mengenai dasar perdagangan negara.

“(Sebelum ini), syarikat-syarikat ini mungkin mempunyai keraguan terhadap Malaysia, namun saya percaya akan ada lebih banyak syarikat China yang berhubung rapat dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad susulan rundingan semula itu baru-baru ini,” katanya pada sidang akhbar selepas forum bertajuk ‘PM Kembali ke China: Jangkaan dan Peluang”, di sini hari ini.

Forum itu diadakan sempena forum Inisiatif Jalur dan Jalan China (BRI) di Beijing, yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 April, yang turut dihadiri Dr Mahathir.

“(Kehadirannya) akan menghantar isyarat kuat kepada negara-negara lain yang mengambil bahagian dalam projek BRI,” kata Ong.

Beliau berkata menteri lain, iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darrell Leiking, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, juga akan mengiringi perdana menteri ke China.

Sementara itu, seorang ahli panel forum, Dr Ngeow Chow Bing, dari Institut Pengajian Cina Universiti Malaya, berkata persetujuan Malaysia untuk menghadiri forum BRI melambangkan sokongan Malaysia ke atas inisiatif itu.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan bahawa China Communications Construction Co Ltd (CCCC) akan membayar balik RM1 bilion daripada bayaran pendahuluan RM3.1 bilion di bawah kontrak asal untuk Fasa 2 projek ECRL kepada kerajaan Malaysia dalam tempoh sebulan.

Pemulangan wang itu adalah susulan pemeteraian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan CCCC pada 12 April, dengan projek 640-km itu akan diteruskan pada kos yang lebih rendah sebanyak RM44 bilion berbanding harga asal sebanyak RM65.5 bilion.

Malaysia Rail Link dan CCCC akan melaksanakan projek itu secara usaha sama, dengan itu berkongsi kos operasi dan penyelenggaraan.

Ong berkata Malaysia juga perlu meneroka model pendanaan bersama bagi projek infrastruktur, dan model pemilikan dan operasi usaha sama antara Malaysia dan CCCC juga harus menjadi pilihan bagi projek-projek tertentu supaya kontraktor China bukan sekadar menjadi kontraktor pasang siap.

“Kemapanan jangka panjang projek-projek ini pelulah diambil kira dri sudut ekonomi,” katanya.

Ditanya sama ada China akan membeli lebih banyak minyak sawit Malaysia pasca rundingan semula ECRL, beliau berkata komoditi itu, serta pertanian secara keseluruhannya, merupakan aspek penting dalam aktiviti dua hala untuk negara, dan kementerian itu berharap dapat melihat sokongan berterusan ke atas produk minyak sawit Malaysia.

“Bagaimanapun saya tidak mengetahui sama ada terdapat sasaran khusus dari segi angka eksport minyak sawit ke China,” katanya dan menambah beliau yakin perkara itu akan dibicangkan pada mesyuarat dua hala akan datang.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :