SELANGOR

Leoch Accupower komited kekalkan sistem persekitaran baik

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KUALA LANGAT, 19 APR: Kilang Leoch Accupower (M) Sdn Bhd komited mengekalkan sistem persekitaran yang baik sejak mula beroperasi pada 2014.

Pengurus Pentadbirnya, AB Lee berkata, berdasarkan rekod kilang itu tidak pernah mengalami isu alam sekitar sehingga akhir 2017.

Katanya, namun pada 13 Disember 2017,litar pintas berlaku menyebabkan bencana kebakaran mengakibatkan 80 peratus kemudahan operasi, termasuk 1,200 tan bahan musnah seperti plumbum dan asid sulfurik.

“Dengan bimbingan dan nasihat pakar perunding alam sekitar, kami sudah membuang semua bahan terbakar untuk dilupuskan kepada kontraktor berlesen, Tex Cycle Sdn Bhd.

“Pada masa sama, Pakar Insuran Forensik dan Perunding Pemadam Kebakaran turut menasihati, reka bentuk pencegahan kebakaran boleh
diterima pakai semasa proses pembinaan kilang dan kemudahan baharu.

“Setakat ini, hasil sampel efluen tidak menunjukkan sebarang kesan positif oleh perunding kami yang terlibat secara langsung untuk mengenal pasti pencemaran berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi lawatan tapak oleh EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian ke kilang terbabit.

Lee berkata, sehingga 30 Mac lalu, tiada tanda bahan pencemar yang keluar di lubang kawalan dan luar perimeter kilang.

“Justeru, sebagai tindak balas terhadap aduan orang ramai, pada Februari hingga Mac lalu kami mengadakan sesi dialog dan lawatan kilang bersama komuniti awam dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memberi maklumat telus serta langkah pencegahan yang diambil,” katannya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya menyambut baik seruan Kerajaan Negeri untuk melakukan penilaian dan kajian secara menyeluruh berkaitan isu ini dalam tempoh dua minggu.

“Kami komited untuk terus memantau isu ini sehingga musim hujan seterusnya antara September sehingga Disember tahun ini bagi memastikan kawalan penuh dapat dilaksanakan,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :