EKONOMI

Lepasi fasa pemulihan, optimis ekonomi kembali rancak – Dzulkefly

SEMENYIH, 27 APR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad optimis ekonomi negara kembali rancak dengan pelaburan domestik dan luar turut kembali melonjak dalam enam bulan akan datang berikutan negara telah melepasi fasa pemulihan.

“Rakyat sebenarnya sudah memahami sepuluh bulan lalu beberapa projek dibekukan adalah kerana kita mahu menyemak semula dengan melakukan rundingan dengan kontraktor untuk memastikan kosnya munasabah.

“Oleh itu industri pembinaan tergendala seketika dan telah memberi ‘multiple effect’ kepada sektor lain.

“Namun kita sudah melepasi fasa itu dan saya yakin dalam tempoh enam bulan ke setahun yang akan datang, kita akan memacu ekonomi yang sangat rancak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sihat Selangor Insan Sejahtera di Setia Ecohill, hari ini.

Beliau mengulas mengenai hasil tinjauan pendapat oleh Merdeka Center yang dikeluarkan semalam yang menyebut bahawa kadar puas hati rakyat terhadap pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) merosot dari 79 peratus pada Mei tahun lalu kepada 39 peratus Mac lepas.

Dzulkefly menambah beliau turut berhubung dengan pegawai khas kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Tony Pua yang memaklumkan strategi pemulihan yang dilaksanakan kerajaan PAKATAN menampakkan kesan positif kepada ekonomi.

Dalam pada itu, mengenai lanjutan tempoh penguatkuasaan bagi larangan merokok di tempat makan sehingga akhir tahun ini, Dr Dzulkefly menegaskan langkah itu adalah bagi memberi lebih masa untuk mendidik perokok .

Malah, jumlah yang mendaftar bagi kempen berhenti merokok didapati meningkat sebanyak 528 orang bagi tempoh empat bulan tahun ini berbanding 480 orang sahaja sepanjang tahun lalu, katanya.

“Saya tegaskan lanjutan ini bukan u-turn seperti yang disebutkan, tapi kita mahu mengangkat agenda pendidikan bahawa tuntutan menjaga kesihatan itu adalah tanggungjawab diri dan kita mahu kesedaran itu datang daripada perokok (sendiri),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :