SUKANKINI

LFC World tunggu kehadiran peminat di One Utama

OLEH AFIX REDZUAN

DAMANSARA, 19 APR: Peminat Liverpool berpeluang untuk memenangi sehelai jersi ‘Home Kit’ musim 2019/2020 dengan menyertai cabutan bertuah pada sesi tayangan perlawanan menentang Cardiff City di pusat membeli belah One Utama, Ahad ini.

Peluang keemasan itu sebagai tanda penghargaan kepada peminat di Malaysia sempena kunjungan LFC World di Kuala Lumpur selama tiga hari bermula hari ini dan tempahan boleh dibuat menerusi proticket.com.my

Kehadiran LFC World untuk musim kali ini menampilkan tiga pemain lagenda The Reds iaitu Jason McAteer, Sami Hyypia dan Steve McManaman.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Standard Chartered Malaysia, Abrar A Anwar berkata, pihaknya berbangga untuk bekerjasama dengan Liverpool sebagai sebuah kelab bola sepak yang mempunyai jumlah penyokong besar di negara ini.

“Kami amat teruja untuk menyediakan pelbagai aktiviti yang memberikan manfaat kepada penyokong Liverpool seperti peluang bertemu pemain lagenda, pemberian cenderahati dan tiket perlawanan ke Anfield kepada komuniti, pelanggan, kakitangan Standard Chartered serta peminat Liverpool.

“Peminat yang mendaftar untuk kad kredit Standard Chartered edisi Liverpool FC sebelum 30 April ini akan layak diberikan pulangan tunai sebanyak dua kali ganda pada Mei depan,” katanya.

Peminat yang hadir ke jelajah Liverpool di Kuala Lumpur berpeluang merasai suasana di Anfield melalu rekaan khas ‘Shankly Gates’ dan ‘This Is Anfield’ yang menjadi mercu tanda ikonik di sana serta berpeluang memenangi pelbagai hadiah ditawarkan menerusi pelbagai aktiviti menarik sepanjang program berlangsung.

Tambahan, pengunjung juga boleh bergambar seperti berada di bilik persalinan Liverppol dengan jersi pemain kegemaran antaranya Sadio Mane, Roberto Firmino, Virgil Van Dijk dan Mohamed Salah.

Penyokong bertuah juga berpeluang memenangi hadiah istimewa berkunjung ke Anfield untuk menyaksikan perlawanan membabitkan Liverpool pada 2019/20 secara langsung yang ditaja khas Standard Chartered.

Sesi pertemuan bersama pemain lagenda turut diadakan pada 20 April yang menampilkan Steve McManaman (12 – 1 tengah hari) dan Jason McAteer (3 – 4 petang) manakala Sami Hyypia pada 21 April (1 tengah hari – 2 petang).

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :