GLOBAL

Liga Arab sokong majlis peralihan tentera Sudan

KAHERAH, 15 APRIL: Liga Arab pada Ahad menyuarakan sokongannya terhadap langkah-langkah yang diambil oleh majlis peralihan tentera Sudan susulan penyingkiran Presiden Omar al-Bashir, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan liga itu.

Kenyataan itu menyebut Liga Arab menyambut baik usaha yang dilakukan Leftenan Jeneral Abdel Fattah Burhan, ketua majlis peralihan tentera, setakat ini.

Kumpulan itu, yang berpangkalan di Kaherah, menggesa komuniti antarabangsa agar menyokong semua usaha yang akan membawa kestabilan dan konsensus kepada Sudan.

Pada 11 April lalu, tentera Sudan menggulingkan a-Bashir yang memerintah negara itu sejak 1989, susulan tunjuk perasaan popular selama berbulan-bulan terhadap pemerintahan pemimpin tersebut.

Pihak tentera turut mewujudkan sebuah majlis tentera bagi mentadbir negara itu dalam tempoh peralihan, selama dua tahun.

Pada 13 April lalu, Burhan berikrar akan melaksanakan pembaharuan politik dan ekonomi secara besar-besaran.

Dalam satu ucapan yang disiarkan melalui televisyen, Burhan berkata, tempoh peralihan negara itu selama dua tahun akan berakhir dengan pilihan raya yang adil dan bebas serta berjanji akan mengheret pihak yang terlibat dalam pembunuhan penunjuk perasaan dan rasuah di bawah rejim lama ke muka pengadilan.

Sementara itu, beribu-ribu penunjuk perasaan Sudan terus berhimpun di depan ibu pejabat tentera pada 14 April lalu di ibu kota Khartoum bagi menuntut agar kuasa dipindahkan kepada sebuah kerajaan awam.

– BERNAMA


Pengarang :