NASIONAL

Lima jalan Selangor ditutup sempena Le Tour De Langkawi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 APR : Lima jalan di Selangor akan ditutup sempena penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 bermula pada Sabtu ini.

LTdL 2019 melalui laman webnya mengumumkan, lima jalan itu membabitkan Jalan Taman Putra; Jalan Hulu Langat; Pekan Batu 14; Pekan Batu 18 dan Jalan Sungai Linggi.

Penutupan jalan yang dijangka bermula dari jam 7 pagi hingga 7 petang itu turut membabitkan beberapa jalan di Kuala Lumpur.

LTdL 2019 dijadual bermula di Kuala Lumpur dan berakhir di Pulau Langkawi, membabitkan jarak keseluruhan 1,226.1 kilometer.

Peminat sukan di Malaysia dan Eropah boleh mengikuti siaran langsung perlumbaan berkenaan selama 90 minit dan rangkuman harian selama 30 minit di saluran RTM dan Eurosports di sepanjang lapan hari perlumbaan.

Penganjur turut menganggarkan jangkauan liputan ke lebih 100 negara membabitkan 310 juta penonton televisyen dan 70 juta lagi menerusi Cycling.TV.


Pengarang :