KULAI, 18 April — Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mencuba mesin daftar masuk AirAsia ketika mengadakan lawatan ke Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, hari ini. –fotoBERNAMA(2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Loke: Rasuah dalam kalangan penguat kuasa JPJ sudah lama

KULAI, 18 APRIL: Kementerian Pengangkutan sedia maklum berkenaan gejala rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun tiada bukti untuk mensabitkan kesalahan mereka.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tegas dalam membersihkan pentadbiran bukan sahaja membabitkan menteri Kabinet tetapi semua peringkat termasuk penguat kuasa.

“Mana-mana penjawat awam terutamanya pegawai JPJ yang terlibat dengan unsur-unsur rasuah, kita mengalu-alukan tindakan tegas dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Memang kita tahu amalan (rasuah) ini sudah lama kedengaran, ada pegawai penguat kuasa yang melindungi pengusaha lori dan sebagainya.

“Memang cerita-cerita seperti ini sudah lama kedengaran tetapi untuk mendapatkan bukti, menguatkuatkan (undang-undang), memang ini memerlukan siasatan dan perancangan rapi dari SPRM) dan kita yakin dengan keupayaan SPRM untuk buat siasatan dan tangkapan,” katanya selepas merasmikan Stesen FedEx Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan 31 individu oleh SPRM semalam membabitkan 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang kerana dipercayai terlibat dengan gejala rasuah.

Loke berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh dengan siasatan dijalankan SPRM berhubung penahanan anggota JPJ itu.

KULAI, 18 April — Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook diringi Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB), Md Derick Basir (tiga, kanan) mengadakan lawatan ke Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh (kanan).
–fotoBERNAMA(2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau juga yakin dengan kredibiliti dan kepimpinan Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid dalam mentadbir jabatan berkenaan dan membasmi amalan itu dalam kalangan penguat kuasa memandangkan Shaharuddin pernah bertugas di SPRM.

Shaharuddin pernah menjadi Ketua Penasihat Eksekutif di Pejabat Penasihat Undang-undang SPRM.

Ketika ditanya sama ada kementerian melihat kepada kemungkinan penstrukturan semula JPJ, beliau berkata kementerian sentiasa melihat untuk memperbaiki operasi jabatan di bawah kementerian dengan penuh integriti dan efisien. -BERNAMA


Pengarang :