SELANGOR

Loy Sian nafi keluarkan kenyataan sokong produk syarikat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 APR: EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian memberikan tempoh 48 jam kepada pihak tidak bertanggungjawab supaya menghentikan penyebaran kenyataan palsu yang mengaitkan dirinya supaya menggunakan beg plastik mudah urai (biodegradable bag) keluaran sebuah syarikat.

Tegasnya, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan dalam bentuk mesej suara (voice message) menerusi aplikasi Whatsapp bagi menyokong sebarang produk serta mengenepikan keluaran syarikat lain.

“Saya mendapat aduan berhubung penyebaran berita palsu menggunakan nama dan jawatan saya di laman sosial.

“Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyokong mana-mana syarikat.

“Kita tahu pasaran produk beg plastik ini luas dan tindakan itu sudah keterlaluan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Annex, hari ini.

Katanya, mesej dalam bentuk poster berbahasa mandarin turut disebarkan bulan ini dan beliau hanya dimaklumkan mengenainya semalam.

Loy Sian menjelaskan, sekiranya perkara ini berterusan, beliau akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

 


Pengarang :