NASIONAL

LTAT dedah dua urus niaga tidak patuh piawaian

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Dua urus niaga dijalankan pentadbiran Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terdahulu dialporkan tidak mematuhi piawaian pelaporan kewangan Jabatan Audit Negara.

Ketua Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed berkata, transaksi pertama membabitkan penjualan tanah di Cochrane dan Bukit Jalil berjumlah RM202.71 juta.

Katanya, ia sepatutnya tidak boleh diambil kira, pada 2017 kerana syarat tanah terbabit belum dipenuhi dan penjualannya belum dimuktamadkan.

“Urus niaga kedua pula membabitkan Sekuriti Sedia Untuk Dijual berjumlah RM1.6 juta membabitkan Dayang Enterprise Holdings Bhd dan Sapura Energy Berhad, yang tidak dilaporkan di dalam Penyata Kewangan LTAT pada tahun kewangan 2017.

“Transaksi ini tidak boleh diiktiraf selaras Laporan Kewangan 118 berkaitan Pendapatan Jabatan Audit Negara kerana kriteria pengiktirafan pendapatan tidak dipenuhi,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya, Liew Chin Tong.

Nik Amlizan berkata, impak daripada hasil penemuan itu menyebabkan keuntungan LTAT bagi tahun kewangan 2017 menurun daripada RM662.17 juta kepada RM370.56 juta.

“Keuntungan terkumpul LTAT juga akan menurun secara mendadak mengakibatkan keuntungan terkumpul negatif sebanyak RM3.6 juta berbanding keuntungan terkumpul positif RM259.99 juta sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, Mohamad Sabu berkata, semakan semula penyata kewangan LTAT bagi 2017 terpaksa dibuat kerana terdapat dua kesilapan termasuk sejumlah RM202 juta yang diisytihar sebagai pendapatan hasil jualan tanah.

“Penjualan (tanah) ini sebenarnya tidak boleh diambil kira kerana transaksi itu belum selesai pada 2017.

“Semakan inilah yang menyebabkan kelewatan terhadap penyata kewangan LTAT bagi tahun berakhir 2018 dan mungkin akan dibuat pada Jun atau Julai ini, untuk memastikan teguran Jabatan Audit Negara diambil kira sebaik mungkin,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berkenaan status terkini penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang, Mohamad berkata, keputusan akhir perkara itu hanya akan diputuskanUnit Perancang Ekonomi. -BERNAMA


Pengarang :