NASIONAL

LTAT gagal lapor susut nilai pada 2017

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Jabatan Audit Negara (JAN) mendapati Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) gagal melaporkan susut nilai bagi ‘dua sekuriti sedia untuk dijual’ berjumlah RM88.90 juta bagi penyata kewangan berakhir 31 Dis, 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed dalam kenyataan hari ini berkata, nilai saksama bagi dua saham itu berjumlah RM18.46 juta bagi tahun kewangan 2017 berbanding kos pembelian RM107.36 juta.

“Penurunan nilai saksama yang ketara dan berpanjangan di bawah kos adalah pertimbangan bagi menentukan susut nilai kedua-dua saham ini,” katanya.

Katanya, JAN juga mendapati perolehan LTAT bagi tahun kewangan 2017 termasuk hasil jualan pembangunan hartanah sebanyak RM202.71 juta, sepatutnya tidak diambil kira dalam penyata kewangan itu.

“JAN juga mendapati dua transaksi yang dibuat adalah akibat tidak mematuhi Piawaian Laporan Kewangan,” katanya.

Oleh itu, Nik Amlizan berkata hasil penemuan itu menyebabkan keuntungan LTAT bagi tahun kewangan 2017 berkurangan kepada RM370.56 juta daripada RM662.17 juta.

Selain itu, pendapatan LTAT akan menurun secara mendadak kepada tahap negatif sebanyak RM31.6 juta berbanding pendapatan RM259.99 juta sebelum ini, katanya.

Nik Amlizan, berkata LTAT juga berpendapat akaun bagi tahun kewangan 2017 yang dimuktamadkan adalah negatif dari segi pendapatan yang akan memberi kesan terhadap keputusan tahun kewangan 2018.

“Kelewatan bagi akaun tahun kewangan 2018 disebabkan kelewatan penghantaran akaun tahun kewangan 2017, dan kita sedang memuktamadkan akaun bagi tahun kewangan 2018 yang dijangka akan diumumkan pada Julai 2019,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :