SELANGOR

LTDL 2019: MBSA tutup 11 jalan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menutup 11 batang jalan secara berperingkat bagi melancarkan penganjuran program Le Tour De Langkawi 2019 peringkat ke-4 yang bermula dari Shah Alam hingga ke Genting Highlands sejauh 115.6km esok.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, penutupan jalan akan bermula sekitar jam 12.45 tengahari sehingga 1.30 petang dan akan mula dibuka semula secara berperingkat sebaik sahaja peserta selesai melaluinya.

“Jalan yang terlibat adalah Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan), Persiaran Damai, Persiaran Masjid, Persiaran Kayangan, Persiaran Hishamuddin, Persiaran Sukan, Lebuhraya Guthrie, Jalan Subang, Persiaran Mokhtar Dahari, Alam Budiman dan Jalan Bukit Cerakah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, orang ramai diseru supaya tidak menggunakan jalan yang dinyatakan pada tempoh tersebut untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan sentiasa mematuhi arahan dari masa ke masa yang diberikan pihak polis dan MBSA.

“MBSA juga memohon pengguna jalan raya memberikan kerjasama dan menggunakan jalan alternatif untuk menuju ke destinasi yang hendak ditujui.

“Selain itu, pengguna juga diminta merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan yang mungkin berlaku akibat daripada penutupan jalan tersebut,” katanya.


Pengarang :