GLOBAL

Lubnan pecah rekod kibar bendera kebangsaan paling banyak

BEIRUT, 29 APRIL: Beirut Alive Association berjaya memecahkan Rekod Dunia Guinness bagi jumlah bendera kebangsaan yang dikibarkan di bandar itu selama 24 jam, lapor agensi berita China Xinhua.

Beirut mengibarkan 26,852 bendera kebangsaan Lubnan, sekali gus memecahkan rekod Waterloo, New York berjumlah 25,599 bendera.

“Saya ke sini untuk mengadili gelaran rekod bagi bendera kebangsaan paling banyak dikibarkan di sebuah bandar selama 24 jam.

“Saya di sini untuk memastikan bahawa semua garis panduan Rekod Dunia Guinness dipenuhi dan kita kini mempunyai rekod baharu di sini dengan 26,852 bendera yang dicapai Beirut Alive Association,” kata Pengadil Rekod Dunia Guinness Ahmed Jabr kepada Xinhua.

Acara itu dianjur di bawah naungan Perdana Menteri Saad Hariri, yang diwakili Anggota Parlimen Rola Tabsh, di Dataran Nejmeh di pusat bandar Beirut, dengan kehadiran Anggota Majlis Ekonomi dan Sosial Mohammed Al-Jouzou dan saksi bebas daripada firma Guaman Al-Ittihad serta pelbagai tokoh terkenal.

-BERNAMA


Pengarang :