SELANGOR

LZS agih RM26.3 juta buat 54,509 asnaf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 APR: Seramai 54,509 penerima dalam kalangan asnaf fakir dan miskin di Selangor berpeluang membuat persiapan awal menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan sumbangan RM26.3 juta, pada tahun ini.

Ketua Pegawai Penyelarasnya, Abdul Basith Hamid berkata, jumlah itu meningkat berbanding 48,000 penerima membabitkan agihan sebanyak RM24 juta, tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, bantuan pembayar zakat diperlukan bagi membolehkan urusan agihan kepada penerima dapat dilaksanakan secara berterusan.

“Ramai beranggapan LZS dalam keadaan mewah dengan kutipan zakat tahun lalu mencecah RM800 juta, tetapi keperluan sebenar agihan adalah tinggi sehingga mencecah RM900 juta.

“Saya merayu kepada pembayar zakat yang mahu menunaikan kewajipan berzakat keluar dari Selangor untuk mengkaji semula keperluan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada asnaf, fakir miskin serta mualaf negeri Selangor 2019, di Dewan Alwi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Terdahulu, program itu dirasmikan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi.

Difahamkan, pelaksanaan agihan zakat kepada golongan terbabit akan dijalankan di setiap daerah secara berperingkat sehingga penghujung Ramadan.

Pada masa sama, Abdul Basith turut mengingatkan mereka yang berhijrah ke Selangor atas urusan pekerjaan supaya melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar zakat.

“Mengaut rezeki di Selangor tetapi jika tidak mahu membayar zakat di negeri sama adalah satu kezaliman kepada asnaf di Selangor.

“Justeru, bantu dan sokonglah LZS kerana setiap kutipan yang diterima akan diagihkan dengan sempurna dan memberikan manfaat kepada yang memerlukan,” katanya.


Pengarang :