SELANGOR

LZS kutip zakat RM794 juta pada 2018

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 24 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencatatkan jumlah kutipan zakat RM794 juta, berbanding RM757 juta, pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata, peningkatan itu diperoleh hasil kerjasama erat dan komitmen ejen kutipan serta penolong amil LZS.

Katanya, hasil itu berjaya membela nasib lebih 54,000 keluarga asnaf, fakir dan miskin termasuk 5,000 saudara mualaf baharu berdaftar, di Selangor.

“Kami telus dengan setiap wang diagih dan disalurkan yang menjadi bukti kepada masyarakat bahawa duit itu diuruskan secara amanah serta berintergriti.

“Antara yang disalurkan adalah bantuan kewangan dan bulanan asnaf fakir, miskin dan mualaf (RM123.6 juta), bantuan keperluan pendidikan dan yuran persekolahan asnaf fakir dan miskin (RM72.2 juta) serta bantuan umum pelajaran, biasiswa pelajaran, dermasiswa mualaf dan sumbangan pendidikan OKU asnaf fakir, miskin, mualaf dan fisabilillah ((RM59.4),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penghargaan Lembaga Zakat Selangor 2018 di Dewan Orkid Wisma PKPS, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Profesor Emeritus Muhammad Awang dan Jawatankuasa Operasi Kutipan LZS, Dato’ Syed Ghazali Wafa Syed Adhwam Wafa.

Mengulas sasaran kutipan zakat pada 2019, Abdul Basith berkata, LZS menyasarkan RM840 juta bagi menyantuni golongan asnaf di Selangor.

“Walaupun kita menyasarkan jumlah ini, namun keperluan sebenar asnaf di Selangor adalah RM900 juta berdasarkan kaji selidik dilakukan.

“Ini adalah tanggungjawab kami membantu asnaf, mungkin rakyat beranggapan agihan ini terlalu banyak dan diberikan kepada negeri lain, tetapi sebenarnya keperluan di Selangor terlalu tinggi.

“Pada masa sama, jumlah sasaran menjadi salah satu cabaran besar ekoran faktor peningkatan ekonomi dan persepsi masyarakat,” katanya.


Pengarang :