SELANGOR

LZS prihatin nasib gelandangan Rohingya

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

AMPANG, 13 APR: Bukan sekadar membantu golongan miskin keluar daripada kepompong kemiskinan, nasib gelandangan nyata turut mendapat pembelaan serta keprihatinan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Jurucakap LZS melalui catatan di Facebook memaklumkan, pihaknya menerusi Skuad Saidina Umar turun padang bagi meninjau sebuah keluarga gelandangan yang dilaporkan berada di bawah jambatan Pandan Indah.

“Tiga jam menanti dalam keadaan hujan renyai di malam hari membuahkan hasil pihak kami bertemu dengan keluarga ini yang baharu pulang dari meminta sedekah.

“Siasatan mendapati keluarga terbabit adalah warga Rohingnya dan sudah lama berlegar di sekitar kawasan ini dengan tidur di mana sahaja tempat mereka berhenti,” tulisnya.

Bagaimanapun, LZS berkata, wanita berkenaan enggan berkomunikasi, sebaliknya bersikap agresif semasa sesi temu bual.

“Oleh kerana isu ini membabitkan status kewarganegaraan, kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

FOTO EHSAN: Facebook Lembaga Zakat Selangor


Pengarang :