SELANGOR

LZS serah rumah baharu kepada asnaf mualaf

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 APR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan rumah baharu kepada asnaf mualaf, Fauzi Isih dengan kos sejumlah RM54,643.

LZS menerusi kenyataan di Facebook berkata, penyerahan kunci rumah itu diadakan bersempena program ziarah asnaf fakir miskin dan mualaf di Batang Kali, semalam.

“Pada program itu, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli Hulu Selangor, Tok Batin Kampung Orang Asli Hulu Tamu dan Penggerak Masyarakat Orang Asli serta Panel Dakwah Mualaf turut hadir untuk menyerahkan sumbangan itu.

“Semoga dengan sumbangan rumah baharu ini memudahkan beliau menjalankan dakwah selain memperteguhkan lagi akidahnya yang masih lemah terhadap agama Islam,” tulisnya.

Pada masa sama, penerima mengucap ribuan terima kasih kepada pembayar zakat dan kepada pihak yang berusaha memberikan sumbangan rumah baharu itu kepada beliau.

Katanya, beliau juga berdoa supaya semua pembayar zakat dimurahkan rezeki dan diberkati kesihatannya.

Sementara itu, menerusi program ziarah terbabit, LZS bersama Nazir dan Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Sungai Masin dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung turun padang untuk melihat dan menziarah empat keluarga di kawasan itu.

LZS turut memberikan sumbangan seperti makanan asasi dan kelengkapan beribadah kepada keempat-empat keluarga asnaf di kawasan terbabit.


Pengarang :