SELANGOR

Mahasiswa prihatin sertai Karnival 3W

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PETALING JAYA, 6 APRIL: Atas sifat keprihatinan terhadap masyarakat, seramai 20 mahasiswa Kolej Perkembangan Awal Kanak-kanak (KPAKK) hadir memeriahkan Karnival Wellness, Welfare, Women (3W), di Dataran Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Seorang wakil mahasiwa, Farisha Amiera Muhammad Taufit, 20, berkata penyertaan mereka pada program terbabit adalah dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Antaranya aktiviti yang kami jalankan adalah seperti mewarna menggunakan straw, lastik botol berisi gula-gula dan bola keranjang kanak-kanak.

“Sebenarnya permainan itu lebih kepada pergerakan fizikal yang mampu meningkatkan motor halus dan kasar kanak-kanak itu,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui pada Karnival 3W.

Pada masa sama, beliau berkata, pembabitan mereka pada karnival itu juga dapat mengasah teknik pengajaran yang dipelajari di kolej.

“Hari ini kebetulan ada anak-anak autism, mereka berbeza sedikit dengan anak-anak normal, jadi cara penyampaian dan komunikasi kami dengan mereka perlu lebih kreatif dan berkesan,” katanya.

Kesemua mahahsiwa itu turut membuat persembahan flash mob di awal program terbabit.

Karnival 3W adalah inisiatif Kerajaan Negeri bagi menggerakkan kesedaran kepada seluruh rakyat Selangor berkaitan isu kesihatan, kebajikan dan wanita.


Pengarang :