NASIONAL

MAHB tauliah 60 anggota bomba

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 APRIL: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mentauliahkan 60 pegawai dan anggota Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS), pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan (KSSK) AFRS-MAHB Siri 2/2018, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pentauliahan itu membabitkan tiga Eksekutif AFRS; 14 Pegawai AFRS dan 43 ahli yang bakal berkhidmat di kesemua balai bomba AFRS kendalian MAHB.

Katanya, ia bertujuan mengekalkan dan memantapkan tahap kesiapsiagaan dalam operasi menyelamat serta persediaan menghadapi bencana di kesemua lapangan terbang di bawah kendalian MAHB.

“Kami mengutamakan aspek keselamatan pada tahap tertinggi dan semoga dengan pengambilan serta pentauliahan rekrut terbaharu ini disertakan dengan modul latihan mantap, tahap kecekapan operasi menyelamat di lapangan terbang dapat diperkemas juga dipertingkatkan.

“Selain menghasilkan pegawai dan anggota yang kompeten, latihan ini turut menyediakan mereka untuk sentiasa berada dalam keadaan siapsiaga setiap masa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, latihan asas itu membabitkan dua fasa iaitu fasa pertama di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (FRAM) Wilayah Timur, Terengganu selama hampir lima bulan dan dikendalikan sepenuhnya oleh jurulatih Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Raja Azmi berkata, pelatih yang berjaya pada fasa itu akan menerima Sijil Sains Kebombaan daripada JBPM.

“Selesai menjalani latihan fasa pertama, mereka seterusnya diuji pada fasa kedua di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang lebih menjurus kepada pengetahuan dan kemahiran bagi aircraft firefighting serta On Job Training.

“Latihan ini mengambil masa sekitar dua bulan setengah sebelum pelatih dihantar semula ke FRAM Wilayah Timur untuk menjalani majlis tamat latihan,” katanya.

Terdahulu, majlis pentauliahan yang diadakan di FRAM Wilayah Timur, Terengganu itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Mohammad Mentek; Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Mohammad Hamdan Wahid dan Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports (Sepang), Mohammad Suhaimi Abdul Mubin.

Pengisian majlis itu turut menyaksikan pemeriksaan perbarisan, penghargaan kepada pelatih terbaik dalam bidang akademik kebombaan terbaik keseluruhan.


Pengarang :