Mahkamah dimaklum RM1.9 bilion dikredit dalam akaun Najib | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Mahkamah dimaklum RM1.9 bilion dikredit dalam akaun Najib

KUALA LUMPUR, 29 APR: Sejumlah RM1.9 billion dikreditkan ke dalam satu daripada akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak dari 2011 hingga 2013, Mahkamah Tinggi diberitahu di sini hari ini.

Dikatakan bahawa sebahagian daripada wang itu adalah derma daripada “Putera Faisal Al Turki” dan Menteri Kewangan Arab Saudi.

Perkara ini disahkan oleh R. Uma Devi, Pengurus Ambank cawangan Jalan Raja Chulan apabila disoalbalas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh.


Harvinderjit : Merujuk kepada e-mel ini mengenai kenyataan bank berakhir 694 adalah transaksi berkenaan dari “Putera Faisal Al Turki”?

Uma Devi : Ya

Beliau bersetuju bahawa sebahagian daripada wang berkenaan, termasuk RM304 juta pada 2011 dan RM756 juta pada 2012, datangnya daripada “Putera Faisal Al Turki”.

Saksi berkenaan juga bersetuju bahawa satu daripada jumlah itu iaitu RM324 juta dikreditkan daripada Menteri Kewangan Arab Saudi kepada akaun peribadi Najib.

Menjawab kepada soalan Harvinderjit, saksi pendakwaan ke-21 bersetuju bahawa sepucuk surat arahan yang kemungkinan ditulis oleh Najib pada 30 Julai, 2013 telah mengarahkan bahawa wang derma itu dipulangkan semula kepada pendermanya (Putera Faisal Al Turki dan Menteri Kewangan Arab Saudi).

Harvinderjit : Berdasarkan surat berkenaan ia jelas bahawa bank berkenaan mengetahui jumlah wang yang dikreditkan itu adalah satu derma?

Uma Devi : Ya

Peguam berkenaan kemudian membacakan kandungan surat itu yang menyatakan “Saya (Najib) memaklumkan kepada anda (Ambank) arahan agar mengubah dana dalam akaun semasa berjumlah AS$620 juta, dan pengiriman wang asing itu dalam satu transaksi derma atau hadiah peribadi yang saya terima daripada surat pihak berkuasa berkenaan, Pulangkan, konsistensi pada kandungan bertarikh 30 Julai, 2013”.

Kepada satu cadangan daripada Harvinderjit bahawa bahagian wang yang tidak digunakan dikreditkan ke dalam akaun Najib sebelum ia dipulangkan semula kepada penderma, saksi berkenaan berkata “Ya”.

Kepada satu lagi soalan oleh Harvinderjit, saksi berkenaan bersetuju bahawa derma yang diterima itu adalah jumlah wang yang besar yang memerlukan pematuhan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Saksi berkenaan juga menjawab dengan mengiakan cadangan peguam bahawa berdasarkan kepada e-mel daripada Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu bahawa beliau telah melakukan beberapa perkiraan mengikut Sistem Pengurusan Ringgit Malaysia (ROMS) untuk transaksi amat besar.

Harvinderjit : ROMS digunakan untuk pematuhan pelaporan kepada Bank Negara Malaysia untuk jumlah transaksi yang besar?

Uma Devi : Ya.

Beliau menjelaskan bahawa selain ROMS jumlah transaksi yang besar semuanya memerlukan penukaran peringkat fail maklumat pelanggan (CIM).

“Perubahan itu perlu kerana ia akan mencerminkan keseluruhan rekod bank berkenaan dan bukan sahaja dalam kenyataan akaun pelanggan,” katanya.

Saksi itu juga bersetuju hanya pegawai pengiriman boleh mengesahkan semua transaksi daripada “Putera Faizal Al Turki”.

Najib, 66, didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan disambung esok.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next