SELANGOR

Malaysia antara negara Asia Tenggara layak jalani USAR

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 10 APR: Hanya dua negara di rantau Asia Tenggara mempunyai kelayakkan menjalankan operasi Heavy Urban Search And Rescue (USAR).

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman berkata, salah satunya adalah Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

“SMART adalah pasukan ketujuh diiktiraf sebagai pasukan USAR di Asia oleh International Search And Rescue Advisory Group (INSARAG) di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Hanya terdapat 32 negara di seluruh dunia yang mempunyai pasukan diiktiraf sebagai USAR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Lawatan Timbalan Perdana Menteri ke Markas SMART di Pulau Meranti di sini, hari ini.

Katanya, SMART merupakan pasukan elit mencari dan menyelamat melibatkan kawasan kompleks seperti runtuhan bangunan, kawasan sempit, kawasan tanah tinggi dan pergunungan.

Mohtar berkata, SMART akan melalui proses pensijilan semula USAR pada 2021.

Katanya, pasa masa ini SMART giat meningkatkan keupayaan dan kompetensi anggota pasukan dari segi fizikal, aset pasukan, peralatan dan ketahanan stamina bagi menempuhi latihan berterusan selama 36 jam.

 


Pengarang :