RENCANA

Malaysia-Azerbaijan banyak persamaan

KUALA LUMPUR, 10 APR: Azerbaijan dan Malaysia berkongsi banyak persamaan terutama dalam aspek kepelbagaian etnik, toleransi agama serta berbilang budaya, dalam dunia yang semakin dihimpit polarisasi etnik dan sengketa agama, kata duta besarnya ke Malaysia, Prof Dr Qaley Allahverdiyev.

Allahverdiyev berkata kedua-dua negara Islam ini dan rakyatnya turut berkongsi nilai saling menghormati dan memahami di samping menghargai keharmonian yang penting untuk kestabilan politik serta ekonomi negara.

Beliau berkata dalam suasana dunia yang tidak menentu hari ini, menggalakkan keharmonian amat penting untuk menghindari perselisihan atau perbalahan, kerana tanpa toleransi antara etnik dan agama akan menyumbang kepada tercetusnya konflik dan ketidakstabilan.

Azerbaijan terletak di persimpangan di Eropah Timur dan Asia Barat serta dihuni kira-kira 10 juta penduduk dan merupakan sebuah negara berbilang etink serta agama.

Selain itu, 96 peratus daripada penduduknya terdiri Muslim dan mempunyai sejarah panjang dalam hubungan antara etnik dan agama yang harmoni, dengan banyak gereja dan synagogue di negara ini, ujar beliau.

“Azerbaijan sebuah negara yang mengamalkan toleransi, tidak timbul isu kaum atau agama,” katanya dalam satu wawancara dengan Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, di sini baru-baru ini.

Selepas mencapai kemerdekaannya dari Rusia pada 1918 dan sebelum bergabung di bawah Kesatuan Soviet pada 1920, Azerbaijan mendapat pujian sebagai negara demokratik pertama di dunia Islam.

Pada Oktober 1991, Azerbaijan mengisytiharkan kemerdekaannya dari Kesatuan Soviet.

Allahverdiyev berkata negara dan rakyat Azerbaijan telah melalui beberapa episod penghapusan bangsa paling buruk dalam sejarah moden.

Katanya satu daripada tragedi penghapusan bangsa atau genosid dilakukan Armenia pada Mac-April 1918 disebabkan pertembungan etnik dan agama, menyaksikan puluhan ribu nyawa orang awam terkorabn di Baku dan kawasan lain.

Menurutnya, penilaian mengenai peristiwa berdarah itu hanya dibuat selepas 80 tahun kemudian dengan termeterainya Dekri Genosid di Azerbaijan oleh Presiden Heydar Aliyev pada 26 Mac 1998.

Mulai detik itu, 31 Mac diisytiharkan sebagai hari Genosid Azerbaijan.

Kementerian Luar Republik Azerbaijan, dalam satu kenyataan, berkata tujuan sambutan pada setiap 31 Mac adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai kisah pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan bangsa Azerbaijan.

Allahverdiyev berkata Resolusi No.96 (1) Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bertarikh 11 Disember 1946, menegaskan bahawa genosid sebagai mencabuli hak seluruh kumpulan manusia dan merupakan satu jenayah kemanusiaan paling serius.

Harapannya, genosid yang pernah dilalui negaranya, tidak akan berlaku di negara lain.

Selain itu, katanya beberapa negara telah mengiktiraf tragedi Khojaly – pembunuhan 613 etnik Azerbaijan pada Februari 1992 di bandar Khojaly di wilayah Nagorno-Karabakh – sebagai genosid.

Duta besar itu berkata 20 peratus wilayah Azerbaijan, termasuk Nagorno-Karabakh, berada di bawah pendudukan Armenia – satu tindakan yang tidak pernah diiktiraf masyarakat antarabangsa atau negara lain, termasuk Malaysia.

Menurutnya, Baku dan Kuala Lumpur turut berkongsi pandangan sama mengenai isu-isu antarabangsa.

Ujarnya, Azerbaijan akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 pada Oktober 2019 dan menjadi pengerusi untuk tempoh 2019-2022, yang disifatkannya sebagai peluang kepada negaranya mempromosi keharmonian dan keselamatan antarabangsa.

Sehingga 6 April 2019, rakyat Azerbaijan telah mencecah seramai 10 juta orang di Baku. Perkembangan postif itu pada hematnya menjadi antara pencapaian dasar negara bertujuan untuk membangunkan sosioekonomi yang mampan, dan telah menerima penghargaan daripada Presiden, Ilham Aliyev dan isterinya Mehriban Aliyeva.

— BERNAMA


Pengarang :