Selangorkini
Lynas_LAMP
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia mahu sisa buangan Lynas kembali ke Australia

KUALA LUMPUR, 1 APR: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mahu bekerjasama dengan kerajaan Australia bagi memastikan sisa buangan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) dikembalikan ke negara itu.

Timbalan Menterinya, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, kerjasama itu bagi mencari jalan dalam usaha memudahkan proses pengeluaran residu ‘Water Leached Purification’ (WLP) yang dihasilkan kilang Lynas dihantar ke Australia yang sepatutnya dilakukan sebelum September ini.

“Menteri (Yeo Bee Yin) telah menulis surat kepada rakan sejawatannya di Australia pada 26 Februari lalu untuk memaklumkan mengenai kerjasama ini bagi memudah cara pengeluaran sisa berkenaan dari Malaysia ke negara tersebut,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) berkenaan langkah diambil kerajaan dalam memastikan sisa buangan Lynas dikembalikan ke Australia.

Isnaraissah Munirah berkata pada masa sama, pasukan petugas ditubuhkan kerajaan juga sedang mengenal pasti prosedur dan instrumen antarabangsa berkaitan, untuk proses penghantaran keluar residu WLP itu.

Katanya ia akan mengambil kira semua aspek perundangan, keselamatan orang awam dan pekerja serta alam sekitar.

– BERNAMA

-Foto Kredit: lynascorp.com


Pengarang :