Selangorkini
NASIONAL

Malaysia perlu 200 pakar neurologi rawat strok

GEORGE TOWN, 20 APRIL: Malaysia memerlukan 200 lagi pakar neurologi untuk memastikan jumlah pesakit strok yang kian meningkat akan mendapat rawatan yang secukupnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 92 pesakit strok dimasukkan ke hospital setiap hari dan kini negara hanya mempunyai 107 pakar neurologi.

Katanya, Kementerian Kesihatan mempunyai 50 pakar dan pelatih neurologi, universiti mempunyai 33 pakar dan pelatih neurologi manakala seramai 24 pakar neurologi adalah daripada sektor swasta.

“Secara keseluruhan, 107 (pakar) neurologi memang tidak mencukupi untuk memberikan perkhidmatan kepada jumlah kes strok yang besar dan kita perlukan 200 pakar neurologi lagi tetapi bukan hanya tertumpu di hospital besar tetapi juga hospital-hospital lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Strok Malaysia yang pertama di sini hari ini.

Katanya, rekod pada 2016 menunjukkan bahawa seramai 33,812 pesakit strok dimasukkan ke hospital dengan kos implikasi kepada kementerian adalah sebanyak RM180 juta.

Bagaimanapun, beliau berkata sasaran itu mungkin hanya akan tercapai dalam tempoh empat hingga enam tahun lagi kerana untuk melatih pakar neurologi ini mengambil masa yang panjang.

Katanya, pada masa ini, kementerian mengambil langkah mengembang tenaga kepakaran dalam bidang lain yang sedia ada dan bukan hanya tertumpu kepada pakar neurologi untuk menangani pesakit strok.

“Contohnya, sekiranya ada kes strok, pakar kecemasan boleh memberikan rawatan awal perkhidmatan strok di situ dulu sebelum pesakit dirujukkan kepada pakar neurologi.

“Sekarang ini perkhidmatan kita ‘cut across horizontal’, bukan lagi ‘vertical’ yang tertumpu kepada neurologi sahaja, tetapi kita juga perkasakan pakar-pakar dalam bidang lain seperti klinik kesihatan, pakar perubatan keluarga, pakar kecemasan dan pakar perubatan am dalam membawa mereka bersama dalam rawatan pesakit strok,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata setakat ini, semua hospital di seluruh negeri mempunyai pakar neurologi kecuali Kedah dan Perlis yang mana mereka akan dibekal tidak lama lagi.

“Kita sedang melatih 11 pelatih neurologi dan mungkin dalam setahun dua lagi mereka akan menjadi pakar dan kita merancang untuk menempatkan mereka di kedua-dua negeri ini,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :