NASIONAL

‘Malu Apa Bossku’, budaya negatif dibawa BN – Mukhriz

SEREMBAN, 9 APR: Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir bimbang dengan budaya negatif yang dibawa oleh bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) yang terbabit dalam isu rasuah dan mencuri duit negara.

Mukhriz, yang juga Menteri Besar Kedah, berkata, bekas pemimpin negara itu dilihat seolah hilang akal apabila mengajar anak muda dengan nilai-nilai negatif dengan membawa slogan seperti “Malu Apa Bossku”.

Katanya, situasi itu dilihat berbahaya apabila anak muda dilihat kurang faham dengan situasi semasa dengan seolah-olah mengiktiraf dan membenarkan perbuatan bekas pemimpin berkenaan apabila melaung-laungkan slogan berkenaan.

“Ini nilai cuba diterap oleh anak muda.. ada anggota Parlimen BN kata kalau orang curi duit itu belum lagi dikira curi selagi tidak ditangkap. Saya bimbang anak muda kita terpengaruh dengan fahaman ini.

“Sangat bahaya kalau anak muda ada fahaman macam itu. Maka rosaklah satu negara,’’ katanya ketika berucap pada ceramah umum di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH), dekat sini, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S. Streram.

PRK Rantau pada Sabtu ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R.Malarvizhi dan bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :