BERITA UTAMASUKANKINI

Mane, Salah hampakan Chelsea

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 15 APRIL: Liverpool terus berjuang memburu trofi Liga Perdana Inggeris buat pertama kali dalam tempoh 29 tahun apabila menewaskan Chelsea 2-0, di Anfield awal pagi tadi.

The Reds bermula garang menerusi percubaan Mohamed Salah, pada minit kelima tetapi rembatannya terus ke dakapan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga.

Chelsea yang turun dengan formasi lima pemain tengah turut mengancam kubu Liverpool menerusi rembatan Willian tetapi tersasar.

Peluang terbaik tuan rumah hadir menerusi rembatan Sadio Mane tetapi beliau gagal merembat tepat ke gawang lawan.

Bersambung babak kedua, Mane akhirnya menebus kesilapan apabila menjaringkan gol pertama Liverpool, pada minit ke-51.

Berpunca daripada hantaran Jordan Henderson, Mane yang tidak dikawal mudah menanduk masuk bola melepasi jangkauan Kepa.

Belum sempat Chelsea memperkemas permainan, Salah menggamatkan Anfied dua minit kemudian menerusi rembatan padu ke sebelah kanan gawang lawan untuk menjadikan kedudukan 2-0 buat Liverpool.

Eden Hazard mempunyai dua peluang keemasan untuk mengecewakan Liverpool tetapi percubaannya sekadar singgah di tiang gol dan berjaya dikawal penjaga gol, Allison Becker.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat permainan dan Liverpool kembali ke puncak liga mengatasi Manchester City yang sebelum itu menang 1-3 ke atas Crystal Palace dengan kelebihan dua mata selepas beraksi 34 perlawanan.

City yang kurang beraksi satu perlawanan berpeluang untuk memintas Liverpool jika mereka berjaya menang ke atas Tottenham Hotspur.

Kredit Foto: Facebook Premier League & Liverpool FC


Pengarang :