Mansuh tol motosikal, CIDB di pedalaman antara pencapaian KKR | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Mansuh tol motosikal, CIDB di pedalaman antara pencapaian KKR

KUALA LUMPUR, 28 APR: Pemansuhan tol motosikal di tiga laluan yang memanfaatkan kira-kira 72,000 penunggang motosikal sehari merupakan antara pencapaian Kementerian Kerja Raya (KKR) di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sejak setahun lepas.

Turut menjadi kebanggaan ialah pembukaan cawangan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di kawasan pedalaman termasuk di Sibu, Sarawak.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata pemansuhan kutipan tol bermula Januari tahun ini, memberi manfaat kepada 20,000 pengguna motosikal di Jambatan Pulau Pinang (JPP), 2,000 di Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (JSAHMS) dan 50,000 di Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor, setiap hari.


Menurutnya, melalui inisiatif itu juga pemansuhan tol motosikal dilakukan lebih awal daripada tempoh ditetapkan dalam perjanjian konsesi melibatkan awal 19 tahun bagi Tol Tanjung Kupang dan JPP, manakala awal 34 tahun untuk JSAHMS.

“Bebanan kos sara hidup rakyat juga dapat dikurangkan kerana penjimatan dinikmati pengguna motosikal di laluan-laluan tersebut sebanyak RM24 ke RM66 sebulan,” katanya pada sidang media khas sempena setahun PAKATAN mentadbir pada Jumaat lalu.

Mengulas mengenai cadangan PAKATAN dalam pengambilalihan konsesi tol lain di seluruh negara, Baru berkata buat masa ini satu kajian impak sedang dilakukan oleh satu agensi perunding bebas dan laporan tersebut dijangka siap pada bulan depan.

“Kerajaan mungkin akan terima laporan mengenainya pada Mei dan kita akan kaji laporan itu dan akan dikemukakan pada Jemaah Menteri untuk menentukan langkah seterusnya,” katanya.

Menyentuh mengenai pembukaan cawangan CIDB di Sibu pada 23 Mac lalu, Baru berkata langkah itu dianggap satu kejayaan kerana berjaya memperluaskan perkhidmatan CIDB khususnya di kawasan pedalaman.

Cawangan itu menyediakan perkhidmatan memproses pendaftaran kontraktor dan bahan binaan serta pendaftaran dan akreditasi personel binaan.

“Cawangan baharu ini akan memberi kemudahan kepada 974 kontraktor dan 13,000 personel binaan di Sibu, dan pelanggan tidak perlu lagi ke cawangan lain yang terletak jauh di Kuching dan Bintulu.

“Melalui pembukaan cawangan ini juga pertumbuhan industri pembinaan di kawasan itu akan lebih mantap, berkualiti, produktif dan sudah pasti akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi di Sibu,” katanya.

– BERNAMA

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next