GLOBAL

Mapim rayu rakyat Malaysia terus sumbang untuk misi Rescue Syria

BABULHAWA (Syria), 14 APR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) merayu rakyat Malaysia agar terus membantu pihaknya menampung sasaran kos RM3 juta supaya penyaluran bantuan keperluan asas dan terdesak kepada pelarian Syria yang masih lagi terkandas di negara bergolak itu, tidak terhenti.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata, walaupun Misi Bantuan Kemanusiaan Rescue Syria kali ke-12 berjaya menghantar bantuan bernilai RM5 juta setakat ini, namun jumlah itu masih lagi belum mencukupi untuk menampung kos keseluruhan RM8 juta yang disasarkan pihaknya bagi menjayakan misi penuh getir itu.

“Daripada jumlah kutipan RM5 juta rakyat Malaysia itu, RM2 juta daripadanya telah diperuntukkan bagi sumbangan keperluan asas seperti baju tebal, alat pemanas, ubatan, selimut, Tepung Gandum, Roti, kotak makanan dan khemah-khemah untuk pelarian Syria di beberapa kem pelarian di sana, dan RM3 juta lagi telah diperuntukkan bagi fasa pertama pembinaan 100 rumah tetap di Perkampungan Wakaf Mapim Malaysia di wilayah A’zaz, Syria.

“Namun Mapim mensasarkan kos keseluruhan RM8 juta bagi membolehkan lebih banyak bantuan barangan asas terdesak dapat disalurkan kepada pelarian dalam Syria, dan sumbangan rakyat Malaysia terus diperlukan bagi menampung kekurangan kos ini,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelepasan 15 lori kontena bergerak dari sempadan Turki-Syria, pada Jumaat.

Kesemua lori kontena itu digerakkan hasil kerjasama Mapim dengan agensi wakaf kerajaan Turki, Turkiye Diyanet Foundation (TDV), yang mana TDV membantu dari segi prosedur, pengurusan dan pergerakan logistik kesemua barangan keperluan asas itu ke kem-kem pelarian yang telah dikenal pasti dengan lebih 100,000 pelarian akan mendapat manfaat.

Ahmad Sani berkata, antara lain, kerjasama yang terjalin melalui Perjanjian Persefahaman (MoU) 2019-2021 yang baru disepakati dengan TDV pada Khamis lalu melibatkan pembinaan Perkampungan Wakaf Mapim Malaysia di A’zaz, pembinaan dua masjid yang juga akan dijadikan madrasah serta pembinaan dua sekolah untuk 3,000 anak-anak pelarian Syria.

Mapim meminta rakyat Malaysia untuk tidak berhenti menghulurkan sumbangan berupa untuk Tabung Misi Kemanusiaan Rescue Syria menerusi www.tabungsyria.com atau Maybank 5628-3463-6987 (Syria Emergency Appeal) bagi membantu pelarian Syria.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian hotline 1300-888-038.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :