KLUANG 7 April — Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menandatangi plak sebagai tanda mengisytiharkan nama ‘Bintang Mas’ bagi Klon Baharu belimbing Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di MARDI Kluang, hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor (kanan) –fotoBERNAMA(2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

MARDI lancar klon hibrid belimbing ‘Bintang Mas’

KLUANG, 7 APRIL: Klon hibrid bagi buah belimbing pertama di Malaysia, dikenali sebagai Bintang Mas dilancarkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), hari ini bagi memastikan belimbing negara mampu kembali berdaya saing dalam pasaran termasuk di peringkat antarabangsa.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,  Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihak Mardi sebelum ini sudah melaksanakan aktiviti pengumpulan dan pembangunan baka baharu belimbing mulai 1986 sehingga 1990.

Beliau berkata bermula 1991, aktiviti penambahbaikan kualiti kemudian dijalankan di Mardi Kluang bagi varieti belimbing sedia ada.

“Dalam masa sama, pihak Mardi berjaya menyediakan koleksi jana plasma yang telah mengumpulkan 102 aksesi belimbing dari dalam dan juga luar negara.

“Belimbing hibrid ini mempunyai kualiti makanan yang terbaik dari segi kemanisan, kerangupan, tiada rasa kelat dan warna kuning keemasan dan belimbing ini sesuai dituai pada indeks kematangan penuh untuk makanan segar dengan jangka masa kematangan jauh lebih singkat iaitu 68 hingga 73 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan klon baharu belimbing Mardi di Mardi Kluang, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor.

Salahuddin berkata, pihaknya berharap dengan adanya klon baharu terbabit, Mardi mampu mengeksport hasil berkenaan sekali gus menjadi antara negara pengeksport utama produk berasaskan belimbing.

Beliau berkata penanaman belimbing itu dijangka mampu memberikan pulangan yang besar, di mana dalam satu  hektar kawasan penanamannya mampu menempatkan sehingga 270 pokok.

“Kita lihat contohnya, bagi belimbing jenis Bintang Mas ini, ia mampu mengeluarkan hasil 10 tan per hektar setahun, bermakna petani akan memperolehi pendapatan kasar sekitar RM22,000 setahun bagi harga jualan ladang iaitu RM2.20 sekilogram.

KLUANG 7 April — Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor (kiri) ketika menikmati klon baharu belimbing ‘Bintang Mas’ pada Majlis Pengisytiharan Klon Baharu Belimbing Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di MARDI Kluang, hari ini.?–fotoBERNAMA(2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Selain itu, melalui konsep kebun campuran juga, kita boleh laksanakan dengan ternakan kelulut di kebun belimbing ini dan dengan keluasan satu hektar, kita boleh menempatkan 30 log koloni kelulut dan petani boleh mendapat pendapatan sampingan di antara RM750 hingga RM3,000 per hektar sebulan,” katanya.

Katanya, pada 2017 luas kawasan tanaman belimbing di negara ini adalah 828 hektar dengan Johor merupakan negeri pengeluar utama belimbing di negara ini membabitkan 372 hektar keluasan.

“Malaysia juga merupakan pengeluar dan pengeksport belimbing ke negara Eropah seperti Belanda, Perancis, Switzerland, selain Kanada serta negara-negara Asia seperti Singapura dan Hong Kong dengan purata eksport tahunan RM24 juta,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :