NASIONAL

Maritim Malaysia tahan bot nelayan di Kuala Kedah

ALOR SETAR, 20 APRIL: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan kelas A yang menjalankan aktiviti menunda pukat secara haram tanpa dokumen dekat Kuala Kedah, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, sebelum itu pihaknya mengesan bot berkenaan pada jarak 0.3 batu nautika barat daya Pantai Tebengau pada pukul 3.30 pagi.

Nelayan yang berada di dalam bot terbabit telah memecut laju ketika dihampiri bot ronda Maritim Malaysia dan selepas dikejar kira-kira 30 minit, bot berkenaan berjaya ditahan manakala dua lelaki yang berada di dalam itu bot terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan pantai berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata bot tersebut yang dianggarkan bernilai RM45,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.

Mahmad Faizal turut mengingatkan pengusaha-pengusaha bot nelayan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang ditetapkan. -BERNAMA


Pengarang :