SELANGOR

Masdiana sambut baik amalan pembacaan aktif kanak-kanak

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: MIWA Manufacturing Sdn Bhd menyeru elemen pembacaan aktif dalam kalangan kanak-kanak selari Majlis Pelancaran MIWA OLI, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

MIWA OLI adalah satu jenama minuman berasaskan rumpai laut berperisa empat jenis buah dengan penampilan pelbagai karakter berbeza.

Isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad berkata, beliau menyambut baik usaha syarikat terbabit menyeru elemen pembacaan aktif dalam kalangan kanak-kanak sejajar matlamat Jabatan Pendidikan Selangor (JPS).

“Saya yakin dan percaya bahawa MIWA OLI dapat menjadi salah satu faktor penyumbang kepada usaha JPS, sekali gus merangka pendekatan baharu yang lebih mantap dalam menyemarakkan lagi elemen pendidikan berkualiti sebagai tunjak insan terdidik demi mencapai kesejahteraan negara, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran MIWA OLI sekaligus melancarkannya di Pentas Utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Pada masa sama, katannya, keempat-empat karakter menarik mewakili perisa minuman jeli itu adalah amat baik untuk dijadikan contoh dan tauladan kepada kanak-kanak masa kini.

Masdiana berkata, ia sekali gus membuka minda dan membina personaliti kanak-kanak untuk tampil cergas serta bijak.

“Personaliti inilah yang harus kita terapkan dalam diri generasi masa kini demi membentuk masa hadapan yang lebih cerah.

“Semoga kita semua dapat menyokong usaha murni ini ke arah mendorong pembacaan aktif dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

 


Pengarang :