RENCANA

Masjid infak pakaian percuma sepanjang waktu

KEPALA BATAS, 26 APR: Ketika kebanyakan masjid menyediakan gerobok rezeki yang menempatkan barangan dapur untuk golongan kurang berkemampuan namun, Masjid Permatang Rambai di Penaga mempunyai cara tersendiri untuk membuat kebajikan.

Ia memperkenalkan ‘butik’ yang menawarkan pakaian percuma. Pelbagai pakaian baharu dan terpakai terdapat di ‘butik’ itu, yang beroperasi sejak Disember 2018, hasil inisiatif biro kebajikan masjid berkenaan.

Selain jubah lelaki dan baju Melayu, pengunjung boleh mendapatkan jubah wanita, pakaian dewasa serta kanak-kanak di ‘butik’ itu.

Penggerak utama ‘butik’ infak Masjid Permatang Rambai, Robiah Che Mat, 62, berkaitan idea untuk membuka butik itu tercetus ketika beliau dan suami, Saad Yaakob, memikirkan cara mengisi masa lapang selepas mereka bersara.

“Pada mulanya, saya dan suami, yang merupakan Pengerusi Biro Kebajikan masjid, hanya meluangkan masa untuk membersihkan masjid secara sukarela,” katanya kepada Bernama di sini.

Idea suami isteri

Inisiatif suami isteri itu mendapat perhatian anak-anak kariah yang mahu turut menyumbang tenaga.

Dari situ, tercetuslah idea program ‘butik’ infak yang mengumpul pakaian terpakai dan baharu untuk disumbang kepada mereka yang memerlukan.

Semasa awal pelaksanaannya, program itu mendapat sambutan menggalakkan apabila ramai yang menghantar pakaian terpakai sehingga mencecah 5,000 helai sebulan.

“Idea infak pakaian ini mendapat sokongan Pengerusi Masjid Permatang Rambai Datuk Ghazali Hashim yang kemudian memberi ruang kepada skuad infak untuk beroperasi di kawasan berhampiran masjid,” katanya.

Kemudian, hebahan mengenai butik itu dibuat melalui medium media sosial dan aplikasi WhatsApp.

“Sehingga kini, kami berjaya mengumpul lebih 10,000 pakaian terpakai dan lebih 2,000 pakaian baharu,” kata Robiah.

Antara yang mengunjungi masjid itu bagi mendapatkan pakaian percuma adalah penduduk setempat serta penduduk luar kariah itu termasuk dari Kulim dan Sungai Petani, Kedah.

Robiah berkata ‘butik’ masjid berkenaan beroperasi 24 jam setiap hari dengan dikendalikan 20 sukarelawan berusia antara 24 hingga 60 tahun.

Menurutnya mereka yang mendapatkan pakaian di butik itu juga dinasihatkan supaya mengambil mengikut keperluan sahaja bagi membolehkan individu lain turut mendapat manfaat daripada pemberian pakaian percuma tersebut.

Amalan bersedekah

Robiah berkata mereka juga meletakkan sebuah tabung di hadapan butik infak itu untuk menggalakkan amalan bersedekah.

“Kami menerima sumbangan daripada sesiapa pun yang mahu menderma,” katanya sambil memberitahu wang itu kemudian digunakan membeli barangan makanan seperti beras, gula dan tepung untuk disumbangkan pula kepada golongan asnaf.

Sukarelawan, Zirah Idris, 24, berkata pada mulanya sekadar menyumbang pakaian bagi menjayakan program berkenaan sebelum terlibat sebagai sukarelawan untuk skuad infak.

“Kami gembira kerana dapat membantu ramai orang yang tidak berkemampuan menerusi program ini,” katanya.

Bagi suri rumah, Nor Asmiza Abdul Rahim, 37, butik infak tersebut banyak membantu keluarganya kerana mereka menerima pakaian yang lebih elok daripada yang dimiliki di rumah.

“Sebelum ini, kami membeli pakaian di kedai baju terpakai kerana suami tidak mampu…beliau hanya bekerja buruh.

“Setakat ini, sudah tiga kali saya mengambil pakaian percuma dari sini. Saya juga mendapatkan baju sekolah untuk anak-anak dari butik ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :