PBTSELANGOR

Masyarakat, pihak berkuasa digalak banteras denggi

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SEMENYIH, 14 APR: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyarankan kerjasama antara masyrakat, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membasmi wabak denggi.

Yang Dipertuanya, Dato’ Rosli Othman berkata, masyarakat seharusnya sedar bahawa kawalan terhadap wabak Aedes bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kerajaan, tetapi semua pihak termasuk penduduk perlu memastikan makhluk pembunuh itu tiada tempat untuk membiak.

“Menerusi gotong-royong dijalankan, kaedah ini adalah yang paling berkesan bagi
mengurangkan tempat pembiakan Aedes terutama dalam tin kosong, tayar buruk dan bekas minuman.

“Justeru, program gabungan pihak universiti tempatan, agensi kerajaan dan NGO akan dilaksanakan secara berkala oleh PBT bagi mengurangkan bilangan kes denggi di Hulu Langat amnya dan Selangor khususnya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Gotong Royong Perdana Basmi Denggi anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama MPKj, di Padang Awam Seksyen 2 Bandar Rinching, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Hulu Langat mencatatkan bilangan ketiga tertinggi di Selangor iaitu sebanyak 3,915 kes dengan enam kematian.

Manakala, Semenyih mencatatkan mukim keempat tertinggi di Hulu Langat sebanyak 317 kes denggi dengan satu kematian setakat ini.


Pengarang :