Mat Sabu: Lihat Sri Lanka, ISIS belum berakhir | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Norway

Wartawan

Nadiah Zamlus

Mat Sabu: Lihat Sri Lanka, ISIS belum berakhir

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 APRIL: Kekalahan kumpulan pengganas ISIS di Iraq dan Syria bukanlah satu pengakhiran kepada keganasan mereka, kata Menteri Pertahanan.

Mohamad Sabu juga berkata pengganas kumpulan itu berada di merata dunia dan terus menjadi ancaman utama kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.


“Walaupun ISIS sudah tewas di Iraq dan Syria, ia bukanlah pengakhiran kepada aktivis keganasan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyampaikan ucapannya bertajuk Implikasi Selepas Kekalahan ISIS di Syria dan Iraq bersempena Persidangan Keselamatan Antarabangsa Moscow kali ke-8 di Moscow semalam.

Menghuraikan intipati ucapannya, Mohamad juga menegaskan ISIS dan kumpulan pengganas ini mempunyai “ibu dan bapa” mereka yang wajib diambil tindakan oleh masyarakat antarabangsa.

“Saya menyeru kepada semua pihak agar bersatu bagi memerangi ancaman ISIS yang boleh mendatangkan kemusnahan dan pembunuhan orang awam seperti yang berlaku di Sri Lanka baru-baru ini.

“Jangan biarkan fahaman ekstremisme sebegini merosakkan keharmonian negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan untuk media Malaysia.

Lebih 350 orang penganut Kristian dan pelancong terkorban dan ratusan lagi cedera dalam siri pengeboman di lapan lokasi di Sri Lanka pada pagi Ahad lalu.

Dalam ucapannya di Moscow, Mohamad berkata kemajuan teknologi internet yang meluas mencetuskan serangan siber sebagai senjata baharu mengancam keselamatan negara.

“Dunia siber, tanpa sempadan, menjadi medan peperangan baharu untuk kita dalam usaha menentang keganasan. Keganasan kini lebih daripada kawasan fizikal seperti Syria dan Iraq.

“Serangan siber boleh menjadi sukar untuk ditangani dan memerlukan satu doktrin yang baharu untuk kita atasinya secara berkesan,” katanya seperti dilaporkan Bernama semalam.

Beliau berkata negara memerlukan tentera baharu yang mempunyai pengetahuan meluas dalam teknologi maklumat.

“Kita kini memerangi keganasan melalui penceritaan di sosial media. Kita kini berhadapan dengan puak pelampau yang penuh dengan kemarahan dan kebencian dan dalam kejadian baru-baru ini di New Zealand menunjukkan keganasan tidak mempunyai agama.

“Selagi pemikiran radikal dibenarkan untuk berada dalam kalangan masyarakat, sesiapa juga boleh jadi pengganas,” katanya.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next