GLOBAL

Mata tunjuk petanda awal Alzheimer

CHICAGO, 6 APRIL: Kekurangan kapilari darah di bahagian belakang mata mungkin menjadi kaedah baharu bukan invasif untuk mendiagnos kecacatan kognitif dan petanda awal penyakit Alzheimer, menurut satu kajian dikeluarkan Northwestern University (NU), lapor agensi berita China Xinhua.

Penyelidik NU merekrut 32 peserta yang mempunyai ujian kognitif konsisten dengan kecacatan kognitif jenis pelupa, kelompok usia, jantina dan bangsa yang padan dengan subjek diuji memiliki kognitif normal bagi usia mereka.

Semua individu menjalani pengimejan mata dengan angiografi Optik Koherens Tomografi (OCT).

Mereka kemudian mengesan perubahan vaskular dalam mata manusia secara bukan invasif, dengan sebuah kamera inframerah dan tanpa memerlukan pewarna atau pengesan MRI yang mahal.

Diketahui bahawa pesakit Alzheimer memiliki aliran darah retina dan ketumpatan saluran darah berkurangan.

“Sebaik sahaja keputusan kita disahkan, pendekatan ini berpotensi menyediakan sejenis biopenanda tambahan bagi mengenal pasti individu yang berisiko tinggi menghidap penyakit Alzheimer,” kata Amani Fawzi, seorang profesor optalmologi di Fakulti Perubatan Feinberg NU.

Terapi bagi Alzheimer adalah lebih berkesan jika mereka bermula sebelum kerosakan ekstensif pada otak dan kemerosotan kognitif berlaku, kata Fawzi. -BERNAMA


Pengarang :