BERITA UTAMASELANGOR

MB hadir Mesyuarat Pelaburan Tahunan Dubai 2019

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 APR: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari hadir ke Mesyuarat Pelaburan Tahunan (AIM) di Dubai 2019, semalam.

Amirudin menerusi kenyataannya di Facebook berkata, AIM itu adalah landasan utama untuk menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI).

Katanya, ia adalah inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Ekonomi UAE di bawah naungan Naib Presiden UAE yang juga Perdana Menteri dan Penguasa Dubai, Yang Mulia Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.

“AIM adalah tempat berkumpulnya pelabur global terbesar antaranya pemimpin korporat, pembuat dasar, ahli perniagaan, pelabur serantau dan antarabangsa, usahawan, ahli akademik dan pakar terkemuka yang mempamerkan maklumat, strategi dan pengetahuan terkini untuk menarik FDI.

“Ia bertujuan untuk menghubungkan perniagaan dan negara yang bersedia terbabit dalam perkongsian mampan dengan pelabur,” tulisnya.

Pada masa sama, delegasi Selangor optimis untuk membabitkan pelabur sekali gus membina kejayaan pelaburan yang dicapai Selangor pada tahun lalu.

Terdahulu, Selangor berjaya menempa sejarah baharu apabila merekodkan nilai pelaburan tertinggi sejak 30 tahun lalu sejumlah RM24.8 bilion bagi 2018 menerusi sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Jumlah nilai pelaburan diluluskan bagi sektor perkilangan adalah RM18.947 bilion, peningkatan 238 peratus berbanding RM5.529 bilion pada 2017.

Manakala, sektor perkhidmatan pula menyaksikan Selangor cemerlang merekodkan jumlah pelaburan tertinggi di Malaysia sebanyak RM5.784 bilion berbanding RM4.5 bilion pada 2017.

Amirudin dalam kenyataan berkata, Kerajaan Negeri akan bekerja keras bagi mencapai sasaran pelaburan RM10 bilion pada 2019 dan percaya perkembangan positif ekonomi semasa akan membantu merealisasikan hasrat berkenaan.


Pengarang :