SELANGOR

MB: Selangor bantu RM300,000 pulih sekolah mendap

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 26 APR: Kerajaan Negeri bersedia membantu membaik pulih kerosakan Sekolah Menengah Kebangsaaan Kuala Selangor akibat mendapan tanah di beberapa bangunan khususnya dewan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri bersedia memberi sumbangan RM300,000 daripada RM600,000 kos yang diperlukan seperti yang diumumkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kerajaan Negeri bersedia membiayai dengan dasar 50/50 iaitu perkongsian dengan pihak lain untuk bantu pihak sekolah membaiki mendapan yang berlaku.

“Kerajaan Negeri juga perlu menyalurkan bantuan kepada pihak lain sebab itu kita hanya mampu biaya separuh sahaja dan selebihnya oleh pihak lain,” katanya.

Amirudin berkata beliau akan berbincang lebih lanjut dengan pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) Negeri Selangor.

Katanya, perkara itu perlu disegerakan demi keselamatan dan keselesaan pelajar dan warga pendidik sekolah itu.

Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Selangor yang mula digunakan pada 2011 bagaimanapun mula mengalami mendapan pada 2016.

Sekolah dua sesi itu mempunyai 1,196 pelajar dan 90 guru.

Sementara itu, dalam pertemuan hampir sejam itu, Amirudin turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari guru kepada warga pendidik sekolah itu.


Pengarang :