SELANGOR

MB: Teliti isu banjir Pekan Ijok, tangani segera

OLEH NADIAH ZAMLUS

BESTARI JAYA, 27 APR: Kerajaan Selangor meneliti aduan penduduk berhubung masalah banjir yang kerap berlaku ketika pembinaan Kerja Naik Taraf Jalan Persekutuan FT54 dari Sungai Buloh ke Assam Jawa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sehingga kini Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersedia untuk membina longkang bagi menyelesaikan masalah banjir di kawasan pembangunan Kota Puteri yang terletak di Pekan Ijok.

“Melalui hasil perbincangan, PKNS akan mengalihkan paip besar milik Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), dan selepas itu barulah mereka akan membuat laluan baru untuk mengalihkan lebihan air yang menyebabkan kejadian banjir berkenaan.

“Dijangkakan kerja-kerja ini boleh diselesaikan seawal bulan September akan datang,” katanya.

Terdahulu, Amirudin menerima taklimat berkenaan kerja naik taraf jalan raya yang bermula di Pekan Ijok daripada wakil Jabatan Kerja Raya dan kontraktor, Aktif Unggul Sdn Bhd ketika Program Jelajah Maju Bersama ke Kuala Selangor, petang semalam.

Kerja naiktaraf jalan sepanjang 25 kilometer itu akan bersambung dengan laluan Lebuh Raya Kuala Lumpur- Kuala Selangor (Lebuhraya LATAR) dan juga Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

Projek yang menelan belanja sehingga RM411 juta itu bakal memberi kemudahan jalan raya lebih baik kepada penduduk Selangor, jalan itu dinaik taraf sebelum ini bagi mengurangkan kejadian kemalangan yang berlaku saban tahun selain menyuraikan kesesakan.

Jalan terbabit mula dinaik taraf sejak Ogos 2016 itu dijangka siap menjelang 2021, sehingga kini status kerja sudah hampir 59 peratus siap dan menunjukkan perbezaaan 20 hari lebih awal.


Pengarang :