SELANGOR

MB temui konglomerat terkemuka di Jepun

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 APRIL: Delegasi Selangor yang diketuai Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, bertemu konglomerat pembinaan terbesar Jepun, Daiwa House Industry ketika lawatan kerjanya di negara matahari terbit itu, baru-baru ini.

Amirudin berkata, pada pertemuan itu, syarikat terkemuka berkenaan turut membentangkan projek susulan di Selangor serta rancangan pembinaan fasa seterusnya.

“Daiwa sebelum ini sudah memulakan pembinaan hab logistik dan pengedaran mereka di Selangor.

“Hab berkenaan sedang dibina di Shah Alam dan dijangka siap pada Januari 2020,” katanya dalam kenyataan.

Turut sama dalam rombongan itu ialah EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Sebelum ini, Daiwa House Industry dilaporkan membina kemudahan logistik multinasional pertama di Malaysia bertempat di Shah Alam.

Projek yang dinamakan ‘D Project Malaysia 1’ itu berkeluasan 30,000 meter persegi dengan keluasan lantai seluas 18,000 meter persegi, sementara kawasan sewaan ialah 16,500 meter persegi.

Syarikat yang sama pernah membangunkan Taman Perindustrian Long Duc di Vietnam pada 2011, serta membangunkan kemudahan logistik di beberapa negara lain termasuk Thailand dan Indonesia.


Pengarang :