BERITA UTAMASELANGOR

MB teruja dibawa mengelilingi Selangor Fruit Valley

OLEH NADIAH ZAMLUS

BESTARI JAYA, 27 APR : Dato’ Menteri Besar melahirkan rasa terujanya setelah dibawa mengelilingi kawasan agro-pelancongan, Selangor Fruit Valley (SFV), di sini.

Amirudin Shari berkata, ia adalah kali pertama beliau dibawa menaiki tram di lokasi SFV yang berkeluasan seluas 646 hektar itu.

“Saya lihat kawasan yang baru dibuka pada 2017 ini turut menerima lebih 70,000 pengunjung setakat ini dan sudah tentunya ia adalah potensi yang amat baik buat Selangor.

“Pada saya, kunjungan ke SFV mampu meninggalkan memori yang indah buat pengunjungnya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika sesi lawatan ke SFV sempena Program Jelajah Maju Bersama ke Kuala Selangor, petang semalam.

Selain dibawa menaiki tram hampir 30 minit, Amirudin turut merasai keenakan buah-buahan tempatan keluaran SFV termasuk durian, air kelapa, cempedak, jambu batu dan nangka.

Hadir sama pada sesi lawatan berkenaan ialah EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Datuk Abdul Rashid Asari, EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar Haniza Talha, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud dan Pengurus Agro Tourism, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Md Saad Mahsah.

Terdahulu, destinasi agro-pelancongan yang dibangunkan PKPS itu mula dibuka kepada umum pada tahun 2007 di bawah nama Selangor Tropical Fruit Garden, sebelum diambil alih oleh SFV pada 2014.

Ladang itu ditutup sementara bagi pembangunan semula dengan lebih banyak tanaman pokok buah-buahan dan dibuka semula secara rasmi pada Julai 2017 oleh bekas Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Di SFV terdapat 20 jenis buah-buahan dengan 40 varieti seperti belimbing, durian (Musang King, Black Thorn, IOI, D24 dan Montong), mangga (Red Star, Lily, Harum Manis dan Kuinin), kelapa (Matag dan Pandan), markisa, buah tin, lemon (kuning dan hijau), jambu batu serta pelbagai jenis tembikai termasuk sun melon dan winter melon.

Tambah menarik terdapat lebih 3,000 sarang kelulut di ladang itu, dan SFV merupakan pengeluar madu kelulut terbesar di Semenanjung Malaysia.

SFV telah menerima tiga anugerah daripada Majlis Pelancongan Malaysia iaitu di Anugerah Emas 2017 – Pengalaman Terbaik Pelancongan Agro, dan pada Anugerah Emas 2018 iaitu “Fastest Growing Agro Tourism Park” (Platinum) and “Agro Tourism Initiative Programme” (Emas).


Pengarang :