SELANGOR

MBPJ gondol Anugerah Inisiatif Hijau

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 22 APR: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya menggondol Anugerah Inisiatif Hijau di Malam Gala Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) bersempena dengan Anugerah Landskap Arkitek Malaysia (MLAA) di New World Hotel, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Datuk Bandar, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, penerimaan anugerah itu berikutan kejayaan MBPJ melaksanakan projek rintis ‘Kebun Kita’ iaitu projek soup kitchen (dapur umum) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara.

Katanya, projek itu adalah usahasama MBPJ, badan bukan kerajaan, pihak swasta dan penduduk kawasan sekitar yang membantu membangunkan kawasan lapang terbiar (tanah tandus) kepada sebuah kebun komuniti.

“Kebun Kita adalah usaha MBPJ untuk meningkatkan tahap kehidupan dan suasana persekitaran masyarakat.

“MBPJ menggalakkan aktiviti pelbagai jenis penanaman yang dapat menjana hasil seterusnya menghilangkan beban terutamanya ketika menangani kenaikan harga barangan keperluan harian yang tidak menentu,” katanya yang hadir menerima anugerah terbabit dalam majlis berkenaan.

Menerusi projek itu, Sayuthi berkata, pelbagai jenis sayuran berjaya ditanam secara organik.

“Sejumlah 20 peratus hasil tanaman itu digunakan bagi menjayakan projek ‘soup kitchen’ dan diberikan kepada golongan miskin yang memerlukan,” katanya.


Pengarang :