MBPJ ketat penguatkuasaan di bazar Ramadan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Norway

Wartawan

Norhayati Umor

MBPJ ketat penguatkuasaan di bazar Ramadan

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 21 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan memperketatkan tindakan penguatkuasaan di beberapa lokasi bazar Ramadan tahun ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, antara lokasi berkenaan ialah Damansara Damai, Seksyen 4 Kota Damansara, Kelana Jaya dan Taman Sri Manja.


Katanya, hal itu kerana kawasan berkenaan merupakan antara lokasi yang merekodkan pelanggaran syarat permit bazar Ramadan paling tinggi, pada 2018.

“Pelaksanaan pematuhan syarat permit bazar akan diteruskan dan diperketatkan supaya pengurusan bazar lebih sistematik, bersih dan teratur.

“Sebagai contoh, kawasan bazar Damansara Damai merekodkan pelanggaran syarat paling tinggi,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Usahawan Mikro, baru-baru ini.

Mohd Sayuthi berkata, statistik pelanggaran syarat permit bazar tahun lalu di Petaling Jaya Utara dan Selatan merekodkan 191 kes tidak berniaga sendiri, 229 kes tidak berniaga langsung dan 24 kes menukar petak tanpa kebenaran.

Manakala, 16 kes menukar jenis laluan, 18 kes menggunakan lebih dari satu petak dan 226 kes bagi kesalahan ketika mengendalikan makanan.

Sehubungan itu, katanya, MBPJ akan melaksanakan sistem Demerit iaitu setiap kesalahan yang dilakukan akan melalui sistem penolakan markah.

“Kategori kesalahan dijadualkan kepada dua iaitu kesalahan kritikal dan tidak kritikal. Bagi kesalahan kritikal, penolakan markah lebih banyak berbanding dengan kesalahan tidak kritikal.

“Setiap penolakan markah ini akan disemak dan dibentangkan melalui satu jawatankuasa yang dilantik,” katanya.

Pada masa sama, katanya, MBPJ juga sudah melaksanakan sistem imbasan cap jari, iaitu semua pemegang lesen perlu membuat pengesahan cap jari ketika menerima lesen pembaharuan atau lesen permohonan baharu.

Katanya, sehingga hari ini penggunaan sistem imbasan cap jari merekodkan seramai 18,383 pemegang lesen.

“Manakala, seramai 3,135 pemegang lesen yang mempunyai masalah Mykad rosak atau masalah kesukaran jari untuk diimbas oleh sistem direkodkan secara manual,” katanya.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next