SELANGOR

MBPJ optimis tingkat perkhidmatan AirBnB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 APR: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan susulan timbul aduan berhubung masalah perkhidmatan AirBnB (Air Bed and Breakfast) di sekitar kejiranan terbabit.

Jurucakap MBPJ menerusi kenyataannya di Facebook memaklumkan, ia sebagai langkah proaktif sebelum tindakan lanjut dibuat pihak berkaitan dalam mengatasi masalah berkenaan.

Katanya, perkhidmatan AirBnB memberi perubahan begitu ketara terhadap permintaan penginapan dalam industri pelancongan negara.

“Sejak mula beroperasi pada April 2010, jumlah premis kediaman terlibat melebihi 18 ribu unit, manakala pada 2017, sebanyak 2.6 juta ketibaan pelancong di Malaysia adalah melalui penggunaan perkhidmatan ini iaitu peningkatan sebanyak 139 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Di MBPJ, pada 2017, sebanyak 1,685 unit kediaman direkodkan menawarkan perkhidmatan AirBnB menjadikan Petaling Jaya bandar keempat tertinggi di Malaysia selepas Kuala Lumpur (11,624 unit), Pulau Pinang (3,673 unit) dan Melaka (1,913 unit),” katanya.

Terdahulu, satu bengkel menangani isu aktiviti penginapan komersil di bangunan diadakan di Dewan Banquet, Dewan Sivik MBPJ antara lain membincangkan isu berkaitan perkhidmatan AirBnB yang sehingga kini masih belum ada instrumen kawalan khas di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, kenyataan sama menyebut, terdapat beberapa isu perlu diberi perhatian terhadap perkhidmatan AirBnB yang jelas mengundang implikasi negatif sehingga mendapat bantahan bukan sahaja dalam negara, bahkan di seluruh dunia.

“Ketiadaan instrumen kawalan atau perundangan khas menyebabkan perkhidmatan AirBnB beroperasi tanpa lesen dan tindakan penguatkuasaan sukar dijalankan.

“Selain itu, kos operasinya yang rendah ekoran tidak terikat dengan peraturan dikenakan seperti hotel khususnya dalam penyediaan peralatan pencegahan kebakaran, tanggungan liabiliti awam (insurans), kenaan cukai pelancongan dan perniagaan serta caj bil utiliti bagi tujuan domestik menyebabkan wujudnya persaingan tidak sihat sehingga menjejaskan industri perhotelan.

“Isu keselamatan kepada pemilik unit kediaman dan penyewa turut dibangkitkan di mana kedua-duanya tidak dilindungi oleh agensi insurans sekiranya ada kemalangan serta perkara tidak diingini berlaku.

“Malah, isu keselamatan penduduk setempat menjadi tanda tanya ekoran kehadiran orang yang tidak dikenali dan sering bertukar di kawasan kejiranan, selain masalah kacau ganggu seperti halangan lalu lintas serta bunyi bising boleh menjejaskan kualiti kehidupan masyarakat setempat,” katanya.

AirBnB adalah perkhidmatan diasaskan Brian Chesky, Joe Gebbia dan Nathan Blecharczyk pada 2008 yang membolehkan pemilik rumah menyewakan unit kediaman mereka kepada pelancong yang mahu mencari tempat penginapan dalam jangka masa singkat.

Sejak ditubuhkan, AirBnB sudah meraih pelanggan dengan pesat dan boleh digunakan di 190 negara, 34,000 bandar dengan jumlah keseluruhan unit kediaman sebanyak 2.5 juta di seluruh dunia


Pengarang :