SELANGOR

MBPJ PBT pertama anjur kejohanan sukan motosikal lasak

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 22 APRIL: Kira-kira 210 peserta termasuk dari Singapura dan Thailand menyertai PJ Urban Motocross Fun Race and Celebrity di SS7 /15 berhampiran Kompleks Renang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada 20 hingga 21 April lalu.

Unit Sekretariat MBPJ memaklumkan, pihaknya adalah pihak berkuasa tempatan pertama berstatus bandar raya menganjurkan kejohanan sukan motorsikal lasak dalam bandar, di Malaysia.

“Program julung kali diadakan ini bertujuan mempromosikan Petaling Jaya sebagai lokasi pelancongan sukan dalam bandar.

“Pada masa sama, MBPJ berhasrat menjadikan sukan motorsikal lasak sebagai antara aktiviti riadah komuniti dalam bandar, di samping menganjurkan pertandingan peringkat negeri dan bertaraf antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, penganjuran PJ Urban Motocross Fun Race And Celebrity turut mendapat kerjasama daripada Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd, Red Bull Malaysia dan Kelab Motosikal Lasak Malaysia.

Sebanyak lapan kategori dipertandingkan iaitu Novice, CKD, Cubcross, Veteran, Expert, Women, Kadet dan Junior dan Push Bike Challenge bagi kategori kanak-kanak sekitar umur tiga sehingga 11 tahun.

Pada akhir program, peserta yang berjaya membawa pulang wang tunai keseluruhan berjumlah RM13,800 berserta piala iringan dan sijil penyertaan.

Tambah meriah, kejohanan itu menampilkan selebriti popular seperti Black Mentor, Fizo Omar, Hazama, Achey dan Mamak Puteh.


Pengarang :