PBTSELANGOR

MBPJ, usahawan mikro sumbang juadah berbuka

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 19 APR: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menganjurkan Program Jalinan Kasih bersama usahawan mikro untuk menyumbang juadah berbuka puasa kepada golongan memerlukan seperti asnaf, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Datuk Bandar, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, program itu adalah usaha membantu golongan berkenaan ke arah ‘zero poverty’ selari dengan matlamat dan objektif ‘sustainable development goals’.

“Kerjasama antara MBPJ dan usahawan yang berminat dapat memberi satu perkongsian baik kepada masyarakat di Petaling Jaya.

“Hasil sumbangan daripada program jalinan kasih ini akan dikumpul dan diserahkan kepada golongan terpilih melalui Ahli Majlis MBPJ setiap zon,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel dan Taklimat Usahawan Mikro Bazar Dinamik 2019, di Dewan Banquet, Dewan Sivik, di sini.

Sementara itu, pada program itu, Sayuthi berkata, MBPJ turut menyediakan platform pendidikan kepada usahawan mikro bazar Ramadan untuk mengembangkan perniagaan selepas tamat permit bazar Ramadan.

Katanya, menerusi Bengkel dan Taklimat Usahawan Mikro Bazar Ramadan Dinamik, usahawan terbabit didedahkan teknik perniagaan yang berkesan serta cara mudah mendapatkan bekalan barangan murah dan berpatutan.

“Antara pengisian bengkel itu adalah sesi penerangan kempen sifar penggunaan beg plastik (Roadmap Towards Zero Single Used Bag Plastic 2018-2030) oleh Yayasan Hijau Malaysia, taklimat masyarakat tanpa tunai (Cashless Society) oleh wakil Boost e-Wallet.

“Selain itu, taklimat pemasaran produk atas talian oleh Syarikat Best Marketing Distribution Sdn Bhd dan MYNIC Berhad, taklimat pematuhan syarat permit bazar.

“Manakala, turut diadakan taklimat peniaga berintegriti (pencarian Pemenang Bazar Ramadan 2019) dan taklimat pelaksanaan kaedah pemantauan menggunakan sistem imbasan cap jari serta sistem Demerit,” katanya.


Pengarang :