SELANGOR

MBSA hargai 122 kakitangan menerusi APC

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 APR: Seramai 122 kakitanga Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dirai dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MBSA 2018 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, malam tadi.

Majlis dianjurkan setiap tahun itu bertujuan menghargai jasa dan komitmen kakitangan yang mencapai prestasi terbaik selain mengangkat peranan MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya warga Shah Alam.

Timbalan Dato’ Bandarnya, Mohd Rashidi Ruslan berkata, penerima masing-masing dinilai berdasarkan kuota lapan peratus daripada jumlah keseluruhan kakitangan dengan memperoleh markah prestasi 85 peratus dan ke atas.

“MBSA tidak hanya melihat daripada segi prestasi semata-mata, namun disiplin kerja dan kepatuhan terhadap kehadiran turut diambil perhatian selain tidak pernah dikenakan hukuman tatatertib.

“Menerusi anugerah ini, ia juga sebagai dorongan kepada seluruh warga kerja MBSA untuk mempertingkatkan lagi prestasi kerja dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugasan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis APC MBSA 2018 yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, katanya, MBSA optimis penerima APC dapat meneruskan komitmen dan perkhidmatan yang cemerlang dalam melaksanakan tugas diamanahkan.

Terdahulu, kesemua penerima APC itu memperolehi insentif berbentuk sijil penghargaan, hadiah prestasi RM1,000, Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM400 serta peluang dan keutamaan untuk memajukan kerjaya.


Pengarang :