SELANGOR

MBSA lulus 1,815 permit bazar Ramadan tahun ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 8 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan 1,815 permit bazar Ramadan kepada penjaja di bawah pentadbiran itu yang akan berniaga sepanjang Ramadan, pada tahun ini.

Timbalan Datuk Bandarnya, Rashidi Ruslan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,302 diuruskan sepenuhnya pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit, manakala selebihnya di bawah pengurusan swasta.

Katanya, sebanyak 31 lokasi tapak bazar di sekitar Shah Alam disediakan khusus kepada peniaga yang sudah mendapat kelulusan permit berkenaan.

“Antara lokasi itu adalah di Seksyen 6,7,8,16,17,18,19,20,24,25,27,28,31,33,35,U2, U3, U5, U8, U10, U13, U19 dan U20.

“Kadar bayaran permit bagi jenis jualan makanan dan minuman bagi tapak MBSA adalah antara RM258 hingga RM347 mengikut kategori ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan iLesen sempena Majlis Perasmian Taklimat Bazar Ramadan, di Auditorium MBSA, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pelesenan MBSA, Rosli Bakar dan Pengarah Urusan Unilever Food Solutions (UFS), Nusrat Perveen.

Pada masa sama, Rashidi berkata, kebanyakan peniaga yang memohon permit berkenaan adalah dalam kalangan peniaga yang sama pada tahun sebelumnya.

Justeru katanya, peniaga diingatkan supaya mematuhi syarat kesihatan ditetapkan seperti memakai apron, topi dan kasut semasa menjalankan operasi perniagaan.

“Peniaga dan pembantu diwajibkan untuk mendapatkan suntikan anti-typhoid (TY2) serta menghadiri kursus pengandalian makanan.

“Selain itu, peniaga hanya dibenarkan berniaga di tempat yang diluluskan sahaja dan diminta menjaga kebersihan di kawasan tapak berniaga atau tindakan kompaun akan dikenakan jika peniaga meninggalkan tapak dalam keadaan kotor serta tidak dikemaskan,” katanya.


Pengarang :