SELANGOR

MBSA mahu lebar kerjasama antara bandaraya dunia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) komited menjalinkan hubungan antarabangsa bersama beberapa bandaraya dunia.

Timbalan Datuk Bandar, Mohd Rashidi Ruslan berkata, kerjasama dua hala itu sedang diperingkat perbincangan dengan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri ada mencadangkan beberapa buah bandaraya untuk MBSA jalinkan hubungan kerjasama ini dan masih dalam perbincangan dan penilaian kita ketika ini.

“Kerajasama antarabangsa ini penting untuk menambah mutu perkhidmatan MBSA dari segi teknologi, pendidikan dan pembangunan bandaraya yang lebih baik,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Arca Bandaraya Hanam, di Laman Arca Antarabangsa, di Dataran Kemerdekaan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Hanam, Kim Sang Ho.

Setakat ini, MBSA sudah menjalinkan hubungan antarabangsa bersama Bandaraya Hanam, Korea Selatan dan akan datang Surabaya, Indonesia.

Rashidi berkata, jalinan hubungan dengan Bandaraya Hanam sejak 2013 itu membabitkan kerjasama ekonomi, pendidikan, kebudayaan, belia dan sukan serta pertukaran kakitangan.

“Saya menjangkakan MBSA akan bekerjasama dengan Bandaraya Surabaya tahun ini dan beberapa bandaraya lain dalam tempoh terdekat,” katanya.

Terdahulu, Mataram, Nusa Tenggara Barat, Indonesia turut menyatakan mahu menjalinkan kerjasama ‘sister city’ bersama MBSA.

 

 


Pengarang :