SELANGOR

MBSA perkenal Anugerah Khas Perkhidmatan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperkenalkan Anugerah Khas Perkhidmatan bagi menghargai sumbangan kakitangannya yang sudah lama berkhidmat di pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Timbalan Dato’ Bandarnya, Mohd Rashidi Ruslan berkata, inisiatif memperkenalkan anugerah itu kerana kakitangan cemerlang harus diiktiraf walaupun bukan menerusi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

“MBSA sentiasa komited menghargai pengorbanan dan usaha warga kerjanya dalam meningkatkan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan.

“Oleh itu, MBSA berbesar hati memberikan hadiah kepada 25 penerima Anugerah Khas Perkhidmatan ini berupa sijil penghargaan dan Sijil Simpanan Premium BSN RM400,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis APC MBSA 2018, di sini, malam tadi.

Antara kriteria penerima Anugerah Khas Perkhidmatan adalah kakitangan perlu memperoleh markah prestasi 85 peratus dan ke atas, layak dipertimbangkan untuk APC namun tidak berpeluang kerana kuota sudah penuh.

Antara lain, kakitangan pernah menerima APC tetapi tempoh melebihi 10 tahun dan keutamaan diberikan kepada kakitangan akan bersara tempoh tiga tahun atau lima tahun akan datang.

Sementara itu, seramai 14 penerima Anugerah Pengkhidmat Setia 25 Tahun menerima wang tunai RM4,000 dan sijil penghargaan manakala lima kakitangan senior turut diraikan menerusi Anugerah Persaraan dengan menerima sijil penghargaan, wang tunai RM1,000 dan Sijil Simpanan Premium BSN RM500.

Majlis penyampaian itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmie Diron.

Majlis turut diserikan dengan persembahan penyanyi legenda, Jamal Abdillah yang mendendangkan empat buah lagu antaranya Sepi Seorang Perindu, Kekasih Awal dan Akhir dan Gadis Melayu.

 

 

 


Pengarang :